Saturday 8 November 2014

Cinta Dalam Hati

As Salam..

Dah lama simpan hasrat nak update blog.  Baru hari ini berkesempatan.  Terlalu banyak perkara yang berlaku.  Sampaikan aku sendiri jadi lemah untuk menghadapi semua perkara tersebut.  Terlalu banyak perkara yang berlaku sampaikan aku sendiri tak tahu yang mana satu aku nak mulakan dulu.  Sejak aku berpisah dengan bf aku kira-kira 6 bulan yang lalu aku tak tau kenapa hati aku terasa dekat dengan seseorang.  Seseorang yang sentiasa ada dekat dengan aku.  Dalam hati aku, adakah Allah sengaja letakkan kedudukan kami berdua berdekatan antara satu sama lain untuk saling mengenai pada saat aku kehilangan seseorang dalam hidup aku.

Saat pertama aku berhubung dengan dia ialah saat kami berdua berbincang mengenai sekolah yang akan kami ditempatkan.  Syukur kepada Allah kerana Allah telah tempatkaan aku dengan seseorang. Maksud aku tidaklah aku keseorangan untuk melapor diri di sekolah berkenaan.  Dari saat itu aku sudah tertarik dengan dia hinggalah akhirnya kami berdua berjumpa di sekolah.  Ya Allah, demi Allah aku memang tertarik dengan dia.  Perkara yang paling aku tidak dapat lupakan kami berdua selalu bersama, balik ke Sibu bersama, naik perahu pun dia akan tolong aku mengangkat barang-barang.  Dia terlalu baik sehingga aku terasa tertarik dengannya. Kami memang rapat sehingga semua orang di sekolah menggosipkan kami berdua.  Kenangan paling tidak dapat aku lupakan ialah dia pernah menemani aku makan di Secret Recipe.  Makan berdua saat itu membuatkan aku merasa adakah dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadapku Saat itu betapa aku bersyukur dengan Allah kerana telah menghantarkan aku seseorang yang sangat baik kepada aku dalam saat aku masih merasa kehilangan.  Banyak yang berlaku sehingga aku sendiri keliru adakah aku seorang sahaja yang mempunyai perasaan ini.

Namun begitu, aku harus menerima kenyataan sememangnya hanya aku sahaja yang mempunyai perasaan tersebut.  Dia sudah punya seseorang dihatinya namun dia tidak pernah berterus terang dengan aku.  Salahkah aku mempunyai perasaan seperti itu dikala dia sendiri yang telah melayan aku seperti lebih daripada seorang kawan.  Saat aku mengetahui bahawa dia telah punya seseorang hati aku tersangat kecewa sehingga aku menangis.  Saat itu, aku tak mengerti dengan perasaan aku sendiri.  Bukan salah dia, tapi aku yang terlalu mengharapkan dia.  Kini aku cuba untuk menjauhkan diri darinya,  Demi Allah, aku mengaku aku tak mampu untuk menjauhkan diri darinya.  Namun sejak mengetahui bahawa di telah punya seseorang aku tak akan menjadi orang ketiga dalam hubungan dia dengan kekasihnya. Aku tak mungkin merampas kebahagiaan orang lain demi kebahagian aku.  Aku tahu bagaimana rasanya kehilangan seseorang yang kita sayangi.  Aku tak mungkin melakukan perkara yang sama dengan wanita lain seperti mana yang telah aku lalui sebelum ini.  

Hanya Allah saya tahu perasaan aku saat ini.  Mungkin perasaan mengharap ini terlalu tinggi sehingga aku terlalu kecewa dengan apa yang berlaku.  Mungkin kerana dia hadir tepat pada waktu aku kehilangan seseorang membuatkan aku begitu berharap dengannya.  Aku tau dan aku mengerti yang dia tidak punya apa-apa perasaan terhadapku.  Namun sampai ke saat ini, aku belum boleh membuatkan hati aku membuang terus perasaan ini terhadap dia.  Sukarnya hanya Allah yang tahu sehingga dalam solat sekalipun aku selalu berdoa sekiranya dia adalah jodoh aku maka dekatkanlah hati dia dengan hatiku dan sekiranya dia bukan jodohnya bantulah aku untuk menjauh.  

Sehingga ke saat ini, aku rasa tak mampu. Tak mampu untuk menghadapi rasa ini.  Kadang kala aku berharap aku mempunyai kekuatan untuk berterus terang dengannya. Tapi tak mungkin ini akan berlaku kerana dia sudah punya seseorang yang dia sayang.  Aku tak mungkin bersama dengannya.  Saat mengetahui bahawa dia sudah punya seseorang itu jugalah setiap malam aku menangis kerana mengetahui bahawa dia tak mungkin bersama dengan aku.

Aku tak tau kenapa hatiku begitu kuat denganya.  Sampaikan sehingga kini aku tak mampu untuk menjauh darinya walaupun aku telah berjanji dengan diri sendiri bahawa dia adalah milik wanita lain. Beruntunglah wanita tersebut kerana memiliki seseorang sepertinya.  Namun aku terima takdir ini. Aku akan belajar untuk menerima hakikat hidup ini.  Perancangan Allah adalah yang terbaik.  Bukan semua yang kita suka merupakan sesuatu yang terbaik untuk kita.  Allah lebih tahu.  InsyaAllah aku akan cuba untuk melupakan perasaan ini. Sukarnya mencintai seseorang dalam diam sehingga aku sendiri tidak mampu untuk menghadapinya.